Monday, September 25, 2006

Ramadhan Tanpa Ninek

Ramadhan datang lagi..

Entah kenapa aku terasa sayu jer ramadhan tahun ni..
Mungkin inilah puasa yang pertama dilalu tanpa seorang insan yang kupanggil "ninek".
Dan raya tahun ini juga, jika dipanjangkan umurku untuk melaluinya, adalah raya pertama tanpa ninek.

Mengenang kembali zaman bulan puasa dahulu, semasa ninek masih ada upaya, ninek selalu membuat rempah ratus yang kami di sarawak namakan "mumbu pedas". Gunanya mumbu pedas ini adalah untuk membuat bubur pedas, sejenis lauk yg dibuat daripada campuran pelbagai bahan seperti daun kunyit, pucuk ubi, pucuk singkil, rebung, udang, dan tidak ketinggalan kulit lembu yang sudah dibakar seperti arang, yg kemudiannya dikikis, direbus sehingga lembut, dan dihiris halus-halus. Tidak lupa juga suhun (yang macam bihun, tapi lebih halus dan lembut) serta sejenis bahan (maaf, saya lupa namanya) yang berwarna kuning, dibuat daripada soya, dan slalunya mesti direndam hingga lembut dahulu barulah boleh dimasukkan dalam masakan. Dan yang paling penting!mesti ada mumbu pedas buatan ninek untuk membuatnya..Hmm..Memang sedap!!kalau Maria Tengku Sabri makan mesti suka! (^-^)

Selain bubur pedas, ninek suka sekali membuat kuih-muih di bulan mulia ini. Selalunya, ninek akan membuat agak banyak, untuk disedekahkan kepada masjid untuk "morey" (jamuan kecil selepas tarawikh) dan untuk diberi kepada anak-anaknya (makcik-makcik dan pakcik saya) yang tinggal sekampung. Begitulah ninek, kalau masak sesuatu, tidak pernah lupa akan anak-anaknya yang lain.Pasti ada saja lauk yang dihantar kepada kaum keluarga tidak kira bila, sama ada semasa Ramadhan, ataupun di lain waktu.

Sewaktu ninek sudah hilang upaya untuk membuat itu ini seperti kebiasaannya, ninek masih juga berusaha sedaya-upayanya untuk berpuasa. Terkadang sayu hatiku melihat keadaannya yang uzur, tetapi ketabahan dan kesungguhannya membuatkan aku begitu kagum dengan ninek.

Kepada arwah Ninek, serta datukku (yang juga akan dipanggil "ninek" sekiranya beliau masih hidup), semoga Allah mencucurkan rahmat-NYA kepada mereka. Semoga mereka bersama orang-orang yang beriman.

Kepada diriku sendiri, serta umat Islam yang masih hidup, marilah kita bersama-sama menginsafi diri. Siapa tahu, mungkin ini adalah Ramadhan terakhir kita.

No comments: